Friday, 18 December 2020

Ada udang disebalik batu?

Jangan mudah terperdaya oleh Persatuan Penduduk (RA) di kediaman anda yang hanya berminat untuk usahakan skim "GnG" tidak formal mereka. Walaupun menyalahi undang-undang, syarat dan garis panduan, mereka sanggup melaksanakannya demi keuntungan yang lumayan.

Skim Kawasan Rukun Tetangga KRT tidak diberi perhatian atau peluang langsung walaupun digalakkan pihak kerajaan pusat. Walaupun PDRM banyak memberi sokongan dan kerjasama untuk menjayakan program Skim Rondaan Sukarela SRS, banyak RA masih tidak berminat untuk melaksanakan KRT di taman perumahan mereka. Adakah pihak persatuan penduduk ini tidak prihatin atau mereka sebenarnya adalah korup?


Pihak persatuan penduduk sepatutnya tahu pelaksanaan skim berpagar /berpengawal di kediaman umum rumah teres (bukan persendirian) hanyalah secara tidak formal. (Kelulusan rasmi hanya boleh diberikan kepada skim komuniti berpagar dan berpengawal yang formal sahaja). Walaupun permohonan mereka tidak dapat memenuhi garis panduan dan syarat-syarat ditetapkan, mereka masih berdegil melaksanakan skim berpagar mereka.

Terdapat pihak RA yang tidak jujur semasa membuat permohonan dan pelaksanaan skim kawalan mereka. Walaupun hanya memperolehi persetujuan 75%, mereka masih melaksanakan skim berpagar dengan sistem kad akses yang dilarang. (Adakalanya persetujuan penduduk yang sahih tak sampai 50% pun).

Caranya ialah, pada mulanya mereka melaksanakan skim berpengawal sahaja tanpa kad akses. Sistem kad akses tidak dipasang dahulu sebab mereka tahu ia tidak dibenarkan pihak berkuasa. Tetapi setelah mereka beroperasi untuk beberapa bulan, barulah mereka melaksanakan sistem kad akses mereka. Banyak kes yang berlaku seperti ini, dan PBT tidak dapat memantau kegiatan mereka semua pada setiap masa. 

Terdapat banyak RA yang menipu komuniti mereka bahawa cuma 75% persetujuan diperlukan bagi memohon kelulusan skim berpagar dengan kad akses. Mereka sebenarnya tidak telus dan tulus kepada komuniti. Ramai yang keliru atau tak pasti, dan pihak RA telah mengambil kesempatan untuk menjayakan agenda mereka.

(Syaratnya ialah kalau hanya 75% diperolehi, skim yang dibenarkan ialah skim kejiranan berpengawal tanpa penggunaan kad akses. Skim berpagar dengan sistem kad akses hanya dibenarkan jikalau 100% persetujuan penduduk diperolehi.)

(Siapa tak tahu ... niat RA melaksanakan sistem kad akses automatik supaya senang untuk mereka mengawal penghuni yang tak bayar setiap bulan - siapa tak bayar, kad mereka akan disekat). Penggunaan pelekat kereta (car sticker) sudah tidak berkesan sebab penghuni cuma bayar sekali sahaja. Pastu, susah untuk mereka mengawal siapa yang tak bayar setiap bulan. Inilah cara mereka beroperasi.

Adakah 'wabak GnG haram' ini dibelenggu oleh 'kartel' yang beroperasi di daerah tertentu sahaja atau secara meluas di seluruh negeri? Sebagai rakyat prihatin kita patut hentikan gejala wabak 'GnG' haram ini dan promosikan Kawasan Rukun Tetangga untuk semua taman perumahan bukan-swasta. Skim berpagar hanya dibenarkan di taman perumahan swasta eksklusif yang diwartakan sahaja.

Kami juga menyeru kepada semua PBT seperti majlis perbandaran /bandaraya dan PDRM agar tidak meluluskan permohonan persatuan penduduk yang tidak dapat memenuhi semua syarat ditetapkan.  Tolong jangan berikan mereka 'lesen' untuk meminta bayaran daripada penduduk. 

Kononnya mereka hendak melaksanakan 'GnG' untuk keselamatan penduduk. Tetapi pemikiran kritikal haruslah dipraktikkan di sini agar tidak ada mana-mana pihak yang dapat mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan sewenang-wenangnya. Melaksanakan 'GnG' haram adalah seperti wabak penyakit parasit dalam komuniti kita sekarang dan ia membelah-bahagikan masyarakat. Lebih baik aktifkan Kawasan Rukun Tetangga!

Sila semak dengan PBT Selangor anda samada sistem kawalan berpagar yang dilaksanakan di taman perumahan anda mempunyai kelulusan yang sah ataupun dilaksanakan secara haram? Sila pastikan Persatuan Penduduk (RA) anda mengikuti semua garis panduan dan menepati syarat ditetapkan.

Sekarang ni terdapat banyak skim kawalan perumahan yang dilaksanakan pihak RA kononnya untuk keselamatan penduduk. Tetapi kebanyakannya dilaksanakan untuk mengaut keuntungan. 

Terdapat juga persatuan penduduk yang tidak tahu perbezaan di antara skim komuniti berpagar dan skim kejiranan berpengawal. Ade yang salah tafsir dan telah melaksanakan skim yang salah atau skim yang tidak dibenarkan. Setengah pula telah melaksanakan skim kawalan sendiri tanpa mengikuti garis panduan dan syarat ditetapkan pihak berkuasa.

Pihak RA dan pengawal kena beradap bukan biadap! Pastu, jangan berlagak macam samseng. Kalau dah ade garis panduan, tolong baca dengan teliti. Ikuti semua syarat ditetapkan. Jangan korang buat sesuka hati. Jangan menghalang penghuni di sini dan jangan menyusahkan orang.

Sebenarnya, pihak persatuan penduduk yang melaksanakan sistem kawalan berpagar yang tidak menepati semua syarat ditetapkan adalah "seperti parasit" ...dan bukannya penghuni yang tidak menyertai skim tersebut. Pihak RA kena faham ... taman perumahan ini bukan miliknya.

Seperti yang dinyatakan dalam manual garis panduan, penghuni yang tidak menyertai skim ini tidak boleh dihalang memasuki kediaman mereka pada bila-bila masa. Pengawal keselamatan tidak dibenarkan menghalang kenderaan keluar/masuk ke kawasan berkenaan.

Walaupun kononnya pihak RA ingin melaksanakan sistem kawalan berpagar demi "keselamatan penduduk", ini bukanlah cara yang betul dan terbukti tidak berkesan. Ia tidak mampu menyelesaikan sebarang masalah keselamatan penduduk malahan ia telah menimbulkan pelbagai masalah kepada komuniti setempat dan penduduk sekitar. Adalah lebih baik kalau kita serahkan tanggung jawab keselamatan penduduk kepada pihak berkuasa.

Zaman dah berubah. Ade banyak cara lain yang lebih baik untuk meningkatkan tahap keselamatan kita. Janganlah kita rabun dan dipengaruhi dalam perkara ini. Keselamatan keluarga kita bukanlah perkara yang remeh. Skim berpagar tidak akan membantu kita semua meningkatkan tahap keselamatan ataupun tahap kesedaran/ keprihatinan keselamatan kita. Janganlah kita terikut-ikut dan diperdaya oleh pihak RA yang bukan pakar dalam hal keselamatan ini.

Ramai pakar perunding keselamatan yang bertauliah dan berpengalaman dari negara maju telahpun memberi pendapat mereka bahawa tanggapan "perumahan yang mempunyai sistem kawalan berpagar dan berpengawal lebih selamat" adalah TIDAK BENAR sekali.

Ia tidak menunjukkan peningkatan tahap keselamatan sesebuah taman perumahan itu oleh sebab terdapat banyak faktor-faktor yang lain. Tambah mereka, cuma S.O.P. dan tahap keselamatan yang diamalkan seperti di Penjara dan di Markas Angkatan Tentera sahajalah yang mempunyai tahap keselamatan yang cukup baik dan tidak mudah dibolosi. (Tahap keselamatan yang diamalkan seperti di penjara tidak mungkin dapat dilaksanakan di sini ataupun di mana-mana taman perumahan pun). 

Banyak soalan dan keraguan. Kalau ade kejadian yang tidak diingini berlaku, siapa yang patut kita panggil ... pihak Polis atau pengawal keselamatan? Nak lapor kepada pihak polis atau lapor kepada chairman persatuan penduduk? Lepas tu kalau ade kecurian berlaku yang mengakibatkan kerugian, ade jaminan bayaran ganti rugi tak?

Jangan biarkan otak kita "otak tak center" dalam hal ini. Kita mestilah mempunyai pemikiran kritikal. Mungkinkah sistem kawalan berpagar haram ini dilaksanakan dengan begitu giat sekali (walaupun di tanah pegangan hakmilik individu) sekadar untuk mengaut keuntungan? So, jangan terikut-ikut oke!

Nampaknya ramai yang tidak berwaspada atau mengendahkan langsung keselamatan mereka semasa berada di rumah. Kalau pintu dan tingkap di rumah anda dibiarkan terbuka begitu sahaja tanpa berjaga-jaga atau waspada, bagaimana kita boleh menaikkan tahap kesedaran keselamatan kita?

Ada orang yang membiarkan pintu besar mereka terbuka untuk masa yang lama tanpa peduli. Ada yang tak sedar pintu mereka terbuka. Ada yang lupa langsung untuk tutup dan kunci pintu semula. Mereka ni macam tak mengendahkan keselamatan atau tak peduli langsung. Jadi, patutkah semua penduduk di sini kena bayar yuran "skim kawalan keselamatan" untuk segelintir penduduk yang tidak pedulikan keselamatan diri mereka?

Kita mesti mengatasi kebuntuan atau pemikiran yang terbantut. Kita sendiri kena mengamalkan sikap keprihatinan keselamatan yang tinggi pada setiap masa. Bukan sahaja di rumah tetapi pada bila-bila masa saja di mana anda jua berada. Kita pasti semua ibubapa pun mahu anak-anak mereka belajar menjadi insan yang berdikari dan tahu menjaga keselamatan diri.

Sikap kita terhadap keselamatan lah yang paling penting dan kita kena berubah cara pemikiran kita. Jangan asyik teringatkan skim keselamatan berpagar sahaja - ia tidak berguna kalau sikap cuai dan sambil lewa kita tidak berubah.

Kuncilah pintu dan gunakan mangga. Pasang gril besi. Saling berkomunikasi dengan jiran anda dan sentiasa berwaspada kepada persekitaran anda. Tolong jenguk untuk jiran kamu kalau ada orang yang berkeliaran yang mencurigakan. Pasanglah lampu bila dah gelap waktu malam. Kalau rumah anda dibekalkan dengan alat penggera, tolong aktifkan bila nak keluar. Pastikan semua pintu dan tingkap dikunci dengan baik kalau nak keluar. Gunakan semua sumber yang ada. Seperti kita kena ‘berhati-hati di jalanraya’, kita pun kena ‘berhati-hati di rumah’.

Adakah anda memastikan kereta kesayangan anda ditutup semua tingkapnya dan dikunci dengan baik sebelum beredar? Samalah dengan rumah kita. Benda seperti Kunci, Mangga, Gril Besi, Alat Penggera dan CCTV di rumah anda adalah seperti ciri keselamatan 'ABS', 'Airbag', 'Tali Keledar', dan Immobilizer pada kereta anda. ("Budak jaga kereta" tak pakai oke).

Inilah nasihat yang juga diberi oleh pihak polis. Cukuplah, biar tanggungjawab keselamatan serta kepercayaan ini diserahkan kembali kepada pihak berkuasa dan bukan kepada pihak RA lagi.

Tiada pihak RA yang mampu menangani masalah keselamatan di mana-mana taman perumahan pun. Jadi jangan biarkan mereka bermaharajalela kononnya untuk ‘keselamatan’. Jangan sekali membiarkan segelintir penduduk membuat keputusan untuk semua di sini. Mereka kena ingat taman perumahan ini bukan miliknya dan mereka tidak boleh buat sesuka hati.

Untuk maklumat anda, semua penghuni rumah teres 2 tingkat di sini sebenarnya tidak diwajibkan bayar yuran bulanan kepada RA mereka sebab kawasan perumahan di sini tidak tertakluk kepada peruntukan perundangan hakmilik strata dan tidak diwartakan sebagai komuniti berpagar yang sah.

Tetapi setengah pihak yang mempunyai agenda tersendiri telah mengambil kesempatan untuk melaksanakan skim berpagar mereka melalui persatuan penduduk kononnya untuk keselamatan komuniti. Takanlah semua taman perumahan yang tidak mempunyai skim kawalan adalah tidak selamat? Keselamatan penduduk boleh juga ditingkatkan melalui skim Rukun Tetangga. Kalau kita hendak memupuk perpaduan masyarat, adalah lebih baik kalau kita menubuhkan Rukun Tetangga di sini.

Jadi, sesiapa yang rasa bayaran "yuran bulanan perlindungan" ini sia-sia sahaja dan membebankan, kini mereka tahu yang mereka tak perlu bayar lagi. Sebab ramai yang tidak tahu dan telah diperdaya. Yuran ini juga jauh lebih mahal daripada Cukai Taksiran atau Cukau Pintu yang kita bayar kepada Majlis Bandaraya kita.

Pihak RA tidak boleh paksa atau memberi tekanan kepada sesiapa pun untuk menyertai skim mereka. Kepada penghuni yang nak bayar juga, terpulanglah kepada masing-masing. Cuma, pastikan resit sah diberi untuk setiap bayaran dan akaun mereka diaudit setiap tahun.

Semua rumah teres 2-tingkat yang dibangunkan di BBR adalah jenis "hakmilik individu" dan bukannya hakmilik strata. Jadi mengapa semua RA di sini nak jadikan seluruh kawasan perumahan di sini seperti hartanah berhakmilik strata? Mungkinkah ade udang di sebalik batu?

Kalau suka sangat tinggal di hartanah berhakmilik strata, pindah sajalah ke komuniti berpagar 'GnG' yang formal yang berdekatan seperti 'Eco Ardence' atau 'Eco Park'. Kalau sesiapa yang rasa tidak selamat duduk di sini tanpa skim komuniti berpagar, sila pindah ke taman perumahan GnG yang dilaksana secara formal.

Dan jikalau tak mampu tinggal di taman perumahan ekslusif berpagar sah 'GnG', tolong jangan cuba melaksanakannya di sini. (Kalau kita sekadar mampu kereta biasa, jangan kita berlagak macam kereta mewah McLaren).

Kepada 'Datuk-Datuk' ataupun 'Tan Sri-Tan Sri' yang tidak selesa duduk di sini tanpa  skim berpagar (yang inginkan skim berpagar) yang takut duit, harta dan jongkong emas mereka dicuri, tolonglah pindah ke sana dan jangan menyusahkan orang lain! Bukan semua orang yang duduk di sini kaya seperti kamu!

Sekarang ialah zaman untuk merendahkan kos sara hidup dan bukan sebaliknya. Skim komuniti berpagar (gated community) atau secara ringkas 'GC' sebenarnya tidak dibenarkan di pembangunan berhakmilik individu. Skim komuniti berpagar hanya dibenarkan di pembangunan tanah berhakmilik strata sahaja.

Untuk taman perumahan berstatus hakmilik individu, hanya skim komuniti berpengawal (guarded neighbourhood) atau secara ringkas 'GN' dibenarkan selepas mendapatkan kelulusan daripada semua pihak PBT (termasuk daripada ketua polis daerah PDRM, MPK dan lain-lain lagi).

Penggunaan kad akses automatik adalah dilarang sama sekali di sini kecuali mendapat 100% persetujuan penduduk - tetapi agak mustahil kalau dapat 100%. (Tandatangan persetujuan penduduk 100% yang diperlukan hanya boleh dicapai di pembangunan baru komuniti berpagar yang berhakmilik strata sahaja, melalui Surat Akujanji di antara pemaju dan penduduk semasa pembelian hartanah.)

[Syarat ketat yang ditetapkan oleh semua pihak majlis perbandaran di Selangor ialah untuk melindungi dan menjaga hak semua penghuni. Ia juga perlu bagi mencegah kegiatan yang tidak sihat seperti pihak-pihak tertentu atau sindiket yang cuba mengambil kesempatan untuk melaksanakan skim-skim kawalan mereka.] Tetapi malangnya ramai penduduk di sini yang kurang faham/fasih tentang hal-hal sedemikian, dan mudah terperdaya dan diambil kesempatan.

Walaupun seluruh kawasan perumahan di sini bukan jenis hakmilik strata, tapi skim komuniti berpagar ini masih berleluasa dan ia telah dilaksanakan dengan begitu giat sekali oleh RA tanpa mengendahkan pihak berkuasa tempatan PBT dan undang-undang.

Ini merupakan satu bentuk scam yang cukup mudah untuk dilaksanakan kerana ramai orang tidak mengambil tahu tentang hal-hal ini. Terdapat laporan akhbar yang menyatakan bahawa setengah pihak RA disyaki didalangi dan dipengaruhi oleh sindiket-sindiket tertentu untuk melaksanakan skim GnG mereka.

Sekarang Alhamdulillah semakin ramai penghuni kini sedar bahawa skim-skim berpagar atau berpengawal (di taman-taman perumahan bukan berhakmilik strata) ini sekadar skim untuk mengaut keuntungan sahaja.

Kewujudan skim GC tidak formal ini telah banyak memberi implikasi negatif kepada perpaduan dan keharmonian komuniti. Ia juga mengasingkan kelompok penghuni yang tinggal di satu taman perumahan berpagar dengan taman-taman perumahan berpagar yang bersebelahan dan berdekatan.

Perpaduan masyarakat akan terjejas jikalau skim-skim ini dibenarkan terus berleluasa. Skim-skim yang mempunyai ciri-ciri tidak inklusif adalah tidak selari dengan dasar perpaduan negara di samping menggugat kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.

Sekiranya semua orang dibenarkan mengambil tindakan sesuka hati untuk melaksanakan skim berpagar yang tidak menepati syarat ditetapkan, perpaduan negara dan semangat "1Malaysia" boleh dilupakan sahaja. Sekian, terimakasih.

Malaysia Prihatin
dan Kita Jaga Kita

Featured Post

Manual Garis Panduan Komuniti Berpagar MPK

*Sumber: (Terimakasih & Penghargaan kpd MPK)